Mufti: Puasa batal jika berbuka tiga minit awal

21 Apr 2021 • 4:44 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 21 APRIL: Individu berbuka selepas mendengar laungan azan Maghrib yang sebenarnya tiga minit awal maka puasanya batal.

Mufti Selangor berkata jika azan Maghrib itu dilaungkan kurang seminit atau dua minit lebih awal puasa individu berkenaan masih sah.

Beliau berkata demikian mengulas kesilapan Masjid Al-Khairiyah Sri Gombak melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu pada Isnin lalu.

“Andai kata ada orang berbuka sebaik terdengar laungan Allahuakhbar maka terbatal tetapi jika telah selesai azan baru berbuka dikira sah kerana ia biasanya tiga minit paling minimum.

“Situasi sama jika kita terus solat jadi tidak sah sebab belum masuk waktu. Kalau azan secara berlagu ia berlarutan empat minit maka tak batal,” kata Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima makluman mengenai kejadian itu namun nasihatnya jika kesilapan diakui pihak masjid maka wajib untuk mereka yang terus berbuka pada waktu itu menggantikan puasa.

“Jadikan satu pengajaran supaya akan datang kita bukan sekadar mendengar azan tetapi perlu memastikan waktu sebenar bagi meyakinkan untuk berbuka di samping yakin puasa kita sah,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial kenyataan Masjid Al-Khairiyah memohon maaf memaklumkan berlaku masalah teknikal pada paparan digital waktu azan hingga azan Maghrib dilaungkan tiga minit lebih awal.

The post Mufti: Puasa batal jika berbuka tiga minit awal appeared first on Selangorkini.