SHAH ALAM, 9 APRIL: Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran (MTHQ) peringkat negeri yang berlangsung pada 6 hingga 8 April diadakan dengan membudayakan norma baharu.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata majlis di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Majlis pada kali ini berlangsung dengan pematuhan garis panduan yang ketat dan jumlah penonton yang terhad,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Jais, seramai tujuh qari dan empat qariah berentap bagi merebut gelaran johan sekali gus mewakili Selangor ke MTHQ peringkat kebangsaan pada 13 hingga 18 Jun ini.
“Kategori tilawah al-Quran diadili 11 hakim manakala kategori menghafaz al-Quran melibatkan 17 hakim,” katanya.
Seramai tiga qari memenangi tilawah al-Quran iaitu Syamsul Abu Hassan Alshaari yang dinobatkan sebagai johan, Abdul Najih Marwan (naib johan) dan Izzat Azizi Zainal (ketiga).
Manakala johan qariah pula dimenangi oleh Sofizah Mousin, Rosnani Mohmad (naib johan) dan Kasmah Arshad (ketiga).
The post Jais anjur majlis tilawah al-Quran dalam norma baharu appeared first on Selangorkini.

