Realme 8 Pro Berharga RM1299 Di Malaysia – Kamera 108MP, Cip Snapdragon 720G

TechnologyDigital
22 Apr 2021 • 1:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Realme Malaysia kini hadir dengan penawaran peranti baharu lagi untuk pengguna di Malaysia. Dikenali sebagai Realme 8 Pro, ia merupakan kesinambungan daripada siri Realme 7 sebelum ini. Realme 8 Pro juga adalah peranti terawal keluaran Realme yang menggunakan kamera sebesar 108-Megapixel.

image is not available

Realme 8 Pro dijual di Malaysia pada tanda harga RM1,299 (8GB + 128GB). Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya bermula 1 Mei hadapan menerusi kedai atau pengedar sah Realme di seluruh Malaysia. Setiap pembelian akan didatangkan dengan hadiah percuma menarik beserta jaminan waranti sehingga 2 tahun.

image is not available

Di samping itu, Realme turut hadir dengan tawaran menarik “Raya Syokmo Dengan 8 Pro”. Mana-mana pengguna yang membuat pra-tempahan untuk Realme 8 Pro bermula hari ini – 30 April hadapan akan layak untuk satu penyertaan cabutan bertuah bagi merebut hadiah-hadiah lumayan sehingga RM195,000.

image is not available
Realme 8 Pro Infinite Blue

Untuk spesifikasi, Realme 8 Pro dilengkapi skrin bersaiz 6.4-inci Super AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula standard 60Hz. Ia juga menggunakan cip Snapdragon 720G, memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB (UFS2.1) dan bateri 4500mAh yang menyokong pengecasan 50W SuperDart Charge. Namun, Realme menyediakan pengecas 65W di dalam kotak.

Tetapan kamera terdiri dengan 108-Megapixel untuk sensor utama. Menurut Realme, sensor ini adalah daripada Samsung ISOCELL HM2. Kemudian diikuti dengan tiga lagi sensor lain yang terdiri dengan 8-Megapixel (ultra-lebar) + 2-Megapixel (makro) + 2-Megapixel (monokrom). Kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel.

image is not available
Realme 8 Pro Infinite Black

Spesifikasi lain termasuk- port sambungan USB-C, bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari pada skrin, bluetooth 5.0, antaramuka Realme 2.0 berasaskan Android 11 dan banyak lagi. Realme 8 Pro tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Infinite Blue atau Infinite Black.