SHAH ALAM, 16 APRIL: Pihak polis akan memanggil penerbit dan pelakon terbabit video promosi kegiatan judi dalam talian bertema sambutan hari raya untuk siasatan.
Timbalan ketua polis negara berkata isi kandungan video dua minit satu saat tersebar sejak semalam jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Satu laporan polis sudah dibuat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Kita akan siasat asal usul video berkenaan.
“Kita sedang mengesan dan akan memanggil penerbit serta pelakon terbabit untuk memberi keterangan,” kata Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, kecoh di media sosial mengenai video dua wanita memakai baju kurung dan baju Melayu bagi lelaki menyanyikan lagu bertemakan hari raya sambil mempromosi laman web perjudian.
Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terutama umat Islam kerana ia jelas menyinggung sensitiviti.

The post Polis siasat video iklan raya promosi judi dalam talian appeared first on Selangorkini.
