SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri bersedia meneliti cadangan bagi membantu sesi pembelajaran Ain Husniza Saiful Nizam termasuk persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dato’ Menteri Besar berkata remaja berusia 17 tahun yang membuat pendedahan berhubung jenaka rogol oleh gurunya itu wajar dipuji kerana menegakkan hak pelajar perempuan.
“Saya ada kongsikan isu Ain Husniza ini kepada beberapa orang dan ada yang ingin mengambil dia sebagai anak angkat, beri pendidikan tetapi perkara ini perlu dibincang dahulu dengan keluarganya.
“Keberanian Ain Husniza dalam mengetengahkan isu ini juga wajar diberi penghargaan malah saya dimaklumkan Ain tidak ke sekolah hari ini sedangkan dia bakal menduduki SPM,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Biasiswa antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Terbuka Malaysia di pusat pentadbiran negeri hari ini.
Pada masa sama, Amirudin berkata Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memandang serius berhubung perkara itu yang mana hanya akan merosakkan minda pelajar sekolah jika tidak diambil tindakan.
“Apakah dia akan jadi musuh kepada cikgunya, sekolahnya atau akan timbul beberapa konspirasi sama ada Ain Husniza digagalkan dalam peperiksaan? Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana dia tegakkan hak dia.
“Kita sudah jadi masyarakat maju, negeri maju perangai pun sepatutnya berubah, hormat wanita. Malah, Kementerian Pendidikan dan semua pihak berwajib perlu ambil serius isu ini,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial apabila Ain menggunakan medium Tik Tok mendedahkan seorang guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.
Malah, Ain Husniza menceritakan gurauan itu disambut gelak tawa pelajar lelaki sedangkan gurauan itu menimbulkan rasa trauma dalam kalangan pelajar perempuan.
Dia turut menerima ugutan rogol serta komen berbaur lucah oleh netizen termasuk individu dalam golongan profesion pendidikan.
The post Selangor teliti cadangan bantu pembelajaran Ain Husniza appeared first on Selangorkini.

