SHAH ALAM, 19 MEI: Putrajaya diminta menimbang semula cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di negeri ini susulan peningkatan kes Covid-19.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) berkata kerajaan tidak boleh menilai dari jumlah harian kes wabak memandangkan populasi negeri ini ialah 6.9 juta selain memiliki sektor industri utama.
“Selangor tidak boleh dikatakan yang paling parah kes Covid-19 kerana negeri ini menduduki tempat keempat selepas Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak dari segi nisbah penduduk.
“Selain itu, kebolehjangkitan juga bukanlah tinggi berbanding negeri lain. Kita mahu ‘lockdown’ yang lebih tersasar, lebih efektif dan lebih berkesan,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Covid-19 Selangor menerusi siaran langsung di Facebook hari ini. Turut hadir EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.
Beliau juga meminta kerajaan menimbang penderitaan rakyat termasuk golongan peniaga, pekerja dan pelajar yang bakal terkesan jika PKP penuh dilaksanakan.
Semalam, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor jika usaha sedia ada gagal mengekang penularan wabak.
The post STFC minta Putrajaya pertimbang semula laksana PKP penuh di Selangor appeared first on Selangorkini.

