Pandamaran Jaya jadi lokasi saringan susulan wabak naik selepas raya

30 May 2021 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PELABUHAN KLANG, 30 MEI: Dewan Pandamaran Jaya dipilih sebagai lokasi penganjuran Saringan Komuniti susulan peningkatan kes Covid-19 di empat kampung.

Ahli Dewan Negeri, Azmizam Zaman Huri berkata kawasan terbabit meliputi Kampung Pendamar, Jalan Pandamaran Jaya, Taman Suria Pendamar dan Kampung Idaman.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak panggilan daripada penduduk kawasan itu yang mendakwa mereka perlu menjalani kuarantin ekoran ahli keluarga dijangkiti wabak seminggu selepas raya.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan virus ini semasa hari raya. Apa yang dimaksudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu betul yang mana kes berkembang 14 hari selepas perayaan.

“Saya buat keputusan untuk buat di dewan ini seminggu selepas dapat maklum balas tersebut melalui perbincangan dengan Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang hari ini.

Azmizam berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan program tanpa sebarang pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) malah orang ramai tidak perlu menunggu lama kerana proses saringan sangat cepat.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN dengan memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

The post Pandamaran Jaya jadi lokasi saringan susulan wabak naik selepas raya appeared first on Selangorkini.