SHAH ALAM, 22 MEI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa kerajaan untuk mempertimbang pelaksanaan ‘strategi tunda dos kedua’ susulan peningkatan kes Covid-19 dengan mengambil kira kekangan kekurangan bekalan vaksin.
Menerusi kenyataan, PAKATAN melihat keutamaan ketika ini adalah melindungi penduduk Malaysia dalam tempoh yang singkat berikutan kes Covid-19 mencapai tahap krtikal iaitu hampir 20,000 kes dalam tempoh tiga hari.
“Kami amat menyedari lagi merasai kekecewaan serta keresahan majoriti rakyat kerana terpaksa menunggu untuk pengambilan vaksin langsung menghadapi risiko dijangkiti Covid-19 yang semakin tinggi.
“Kerajaan seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap menerima perubahan pesat dalam situasi pandemik terkini,” kata kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat), Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) dan Lim Guan Eng (DAP), hari ini.
PAKATAN menjelaskan strategi penundaaan dos kedua itu digunakan oleh United Kingdom pada November 2020 dan langkah yang sama turut digunakan Singapura dan India.
“Penyelidikan University of Birmingham dengan kerjasama Public Health England mendapati bahawa pemberian Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.
“Penyelidik dari Oxford University juga mendakwa pada bulan Februari bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu, tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda dibandingkan dengan normal,” katanya.
Katanya, gesaan itu juga dibuat kerana kerajaan didapati gagal selepas lambat dalam memberi vaksin walaupun memberi jaminan mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi.
“Oleh itu, kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari bahawa ada keperluan yang sangat mendesak untuk kita melaksana strategi yang terbukti secara saintifik ini.
“Kami ingin meminta kerjasama rakyat Malaysia amnya untuk turut menggesa kerajaan mengguna pakai strategi ini. Kerajaan wajib proaktif dalam meratifikasi strategi-strategi ini dan berhenti meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya,” katanya.
The post PAKATAN gesa kerajaan pertimbang ‘strategi tunda dos kedua’ appeared first on Selangorkini.

