Selangor sedia pelbagai inisiatif, hargai peranan lebih 3 juta pekerja

1 May 2021 • 3:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 1 MEI: Pelbagai inisiatif digerakkan bagi membela kebajikan 3.5 juta pekerja di negeri ini terutama selepas penularan wabak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan pekerja dianggap sebagai tulang belakang pembangunan negeri dan harus diutamakan bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan dan ekonomi.

“Sebab itu Kerajaan Negeri laksanakan program Mengelak Penularan di Tempat Kawasan Panas (POIS) demi membolehkan industri dan ekonomi dapat berjalan, namun dapat mengelakkan tercetus kluster tempat kerja.

“Kita turut lancarkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin 1, 2 dan 3 serta Pakej Kita Selangor bagi melegakan beban ekonomi ditanggung mereka selepas pandemik,” katanya menerusi Facebook sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.

Jelas Amirudin, pihaknya turut memfokuskan aspek pengupayaan modal insan bagi memberi nilai tambah kepada pekerja terutama dalam melengkapi landskap Revolusi Perindustrian 4.0.

“Penglibatan dan peranan pekerja sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, kesihatan dan sebagainya cukup besar. Selamat Hari Pekerja, terima kasih atas jasa dan perkhidmatan anda semua,” katanya.

The post Selangor sedia pelbagai inisiatif, hargai peranan lebih 3 juta pekerja appeared first on Selangorkini.