Tiada lagi bazar Ramadan di Selangor mulai 8 Mei

5 May 2021 • 4:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 5 MEI: Operasi bazar Ramadan di seluruh negeri dihentikan mulai 8 Mei susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bazar Aidilfitri dan pasar malam pula dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

“Jumlah pengunjung pada satu-satu masa dihadkan mengikut saiz bangunan atau premis, sistem nombor giliran dikuatkuasakan dan kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang masuk.

“Lain-lain perkara akan diputuskan dari masa ke masa oleh pengurusan bazar, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Amirudin berkata pengurusan bazar perlu melantik pegawai pemantau bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi atau berdepan saman dan ditutup serta-merta.

Sementara itu, beliau berkata makan di restoran dan hotel termasuk bufet Ramadan tidak lagi dibenarkan mulai esok.

“Kedai runcit, stesen minyak dan restoran boleh beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam sepanjang tempoh PKP.

“Perincian selain daripada yang di atas tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 17 Mei.

The post Tiada lagi bazar Ramadan di Selangor mulai 8 Mei appeared first on Selangorkini.