Selangor nafi kaut untung jual vaksin kepada majikan

19 May 2021 • 1:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

GOMBAK, 19 MEI: Kerajaan Selangor menafikan dakwaan mahu mengaut keuntungan melalui tawaran pembelian vaksin kepada majikan negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kenyataan separuh masak itu sengaja dicetuskan untuk memburukkan imej Kerajaan Negeri.

“Cukup saya kata kita akan bentang pelan selengkapnya. Sudah pasti Kerajaan Negeri tidaklah ingin menjual sepenuhnya (kepada majikan) dan akan sediakan juga untuk rakyat secukupnya.

“Apa yang Kerajaan Negeri buat (beli vaksin) untuk melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Beringin Gombak Setia dan Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri menawarkan pembelian vaksin kepada majikan dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Bagaimanapun, laman dan aplikasi tersebut tidak menyatakan jenis vaksin yang akan disediakan.

Selangor merancang untuk membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 demi keperluan warga tempatan dan pekerja asing berikutan ada banyak kilang di negeri ini.

The post Selangor nafi kaut untung jual vaksin kepada majikan appeared first on Selangorkini.