SHAH ALAM, 11 JUN: Selangor bakal menggunakan vaksin jenis Sinovac dalam Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP), kata EXCO kesihatan awam.
Dr Siti Mariah Mahmud berkata bekalan pelalian itu dalam proses menunggu kelulusan penghantaran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
“Vaksin ini dibekalkan syarikat sama dari China yang membekalkan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Tiada masalah kerajaan beli vaksin ini dan beri percuma kepada rakyat. Tetapi kita ada kekangan kerana penjualan kepada negeri perlu kelulusan kerajaan pusat melalui Mosti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara bersama Media Selangor bertajuk ‘Langkah terbaik percepat proses imunisasi di Selangor’ yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan pelaksanaan SCVP.
Menerusi program itu, golongan warga emas, B40, pekerja industri dan perkhidmatan antara tumpuan menerima suntikan vaksin yang dijangka bermula awal Julai.
The post EXCO: Selangor guna Sinovac untuk program vaksin penduduk appeared first on Selangorkini.

