OneDrive Kini Hadir Dengan Ciri Suntingan Imej Asas – Ke Arah Bersaing Dengan Google Photos

TechnologyDigital
24 Jun 2021 • 8:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

OneDrive adalah perkhidmatan storan awan daripada Microsoft yang ditawarkan melalui web, aplikasi Android/iOS dan juga perisian pada komputer. Berbanding dengan Google Drive, OneDrive boleh dikatakan agak ketinggalan kerana tidak mempunyai banyak ciri dan fungsi menarik.

image is not available

Tetapi sejak awal tahun ini, Microsoft mula mengemaskini aplikasi OneDrive dengan menawarkan pelbagai ciri menarik agar boleh bersaing dengan perkhidmatan Google. Secara tidak langsung mencuba menarik minat pengguna untuk menggunakan perkhidmatan mereka. Januari lalu saiz muat naik maksimum ditingkatkan kepada 250GB, kemudian mereka tawarkan fungsi kenangan manis seakan Google Photos dengan sokongan muat naik fail video 8K dan bulan lepas pula sokongan Chromecast disertakan. Terkini, Microsoft cuba menawarkan ciri suntingan gambar pula terus secara terbina dari dalam aplikasi seakan Google Photos.

image is not available

Agak menarik untuk lihat OneDrive begitu menekankan fungsi sandaran fail media pada OneDrive dengan menawarkan ciri sama seakan pesaing. Sedangkan Google, Apple, Xiaomi dan lain-lain mengasingkan aplikasi storan awan dan aplikasi galeri awanan. Antara yang baharu adalah kemampuan memangkas (crop) gambar, flip dan putar, mengubah pencahayaan dan warna dan juga beberapa alatan suntingan asas lain.

image is not available

Jika dibandingkan dengan Google Photos, OneDrive masih jauh ketinggalan. Tetapi bagi mereka yang skeptikal dengan cara Google menjaga privasi dan sekuriti data pengguna, mungkin OneDrive ini alternatif yang baik. Ciri suntingan ini terhad kepada format JPEG dan PNG sahaja buat masa ini. Manakala kemampuan memangkas pula terhad kepada nisbah 9:16, 16:9, 4:5, 5:4, 3:4, 4:3, 2:3, 3:2,1:2 dan 2:1. Ciri baharu ini buat masa ini terhad kepada OneDrive versi web dan Android sahaja.

image is not available

Pengguna Android yang berminat untuk cuba perlu menjalankan Android 6.0 sekurang-kurangnya dan menggunakan aplikasi OneDrive versi 6.30 dan ke atas. Sokongan suntingan juga adalah untuk fail di luar talian sahaja dan tidak menyokong fail yang berada di awanan.

Muat Turun OneDrive Di Play Store