Kempen e-Bazar Raya Selangor kutip RM954 juta kesan ekonomi

23 Jun 2021 • 4:43 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 23 JUN: Kempen e-Bazar Raya Selangor pada 15 April lalu mencatatkan RM954 juta kesan ekonomi kepada negeri, termasuk jualan terus bernilai RM65 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata kempen itu merekodkan kenaikan 139 peratus berbanding sasaran asal sebanyak RM700 juta, sementara jualan terus meningkat 163 peratus.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program sehingga 29 Mei turut menarik 134,025 peniaga, termasuk penyertaan baharu dari 22,049 perusahaan kecil dan sederhana.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 76 peratus dari sasaran awal iaitu seramai 12,500 penjual.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa lebih ramai peniaga e-dagang telah mendapat manfaat melalui kempen ini,” katanya pada sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Turut serta EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron, Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Ashaaree.

Sementara itu, Amirudin berkata kejayaan kempen tersebut membuktikan peniaga masih mampu menjana pulangan lumayan di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata peralihan kepada pendigitalan juga membantu memenuhi keperluan pengguna ketika menyambut perayaan Aidilfitri.

Kempen e-Bazar Raya Selangor diselaraskan Invest Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melalui platform Shopee dan Lazada.

 

The post Kempen e-Bazar Raya Selangor kutip RM954 juta kesan ekonomi appeared first on Selangorkini.