Terima rasuah bulanan, SPRM tahan eksekutif pasar raya

21 Jun 2021 • 8:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang eksekutif wanita sebuah pasar raya terkemuka bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan hampir RM40,000 dan dua syarikat pembersihan.

Sumber SPRM memberitahu, suspek wanita berusia 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 3.30 petang Isnin selepas hadir memberikan keterangan.

Menurut sumber, difahamkan suspek didakwa meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada kedua-dua syarikat pembersihan sebagai balasan memastikan syarikat-syarikat tersebut mendapat kontrak pembersihan di beberapa bangunan pasar raya berkenaan yang terletak di Melaka, Johor dan Selangor sejak 2018 hingga tahun ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Difahamkan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada pagi Selasa untuk permohonan reman. - Bernama