SHAH ALAM, 3 JUN: Penggunaan dron berjaya mengesan kerja pembinaan tidak kritikal selain pekerjanya tidak mengamalkan penjarakan fizikal dalam pemeriksaan mengejut di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat semalam.
Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Selangor berkata pihaknya terlebih dahulu menerbangkan dron bagi mendapatkan bukti sama ada berlaku sebarang pergerakan di tapak projek pembinaan 51 unit rumah teres berkenaan.
Suhaimi Mansor berkata melalui gambar diambil didapati ada kerja dilakukan sedangkan projek itu tidak termasuk dalam kategori kritikal yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pekerjanya juga tidak melakukan penjarakan fizikal dan selepas mendapat bukti, pasukan penguatkuasa CIDB Selangor membuat serbuan menyebabkan kontraktor serta pekerja binaan tidak dapat melarikan diri.
“Siasatan lanjut mendapati syarikat itu beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan tiada permit mendirikan rumah kongsi pekerja daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada SelangorKini.
Suhami berkata satu notis henti kerja dikeluarkan dan siasatan dibuat mengikut Akta CIDB 1994 yang jika disabitkan kesalahan kontraktor terbabit boleh didenda RM500,000 selain digantung lesennya.
“CIDB akan meneruskan pemeriksaan bagi memastikan hanya pembinaan kerja-kerja kritikal dilakukan sepanjang PKP ini,” katanya.
Sepanjang PKP selama 14 hari mulai Selasa lalu, semua kerja pembinaan tidak dibenarkan dengan pengecualian kepada kerja disenaraikan dalam perkhidmatan kritikal.
Pengecualian itu antaranya kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal yang boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan jika tidak diteruskan termasuk pembaikan cerun serta kawalan pengurusan trafik.
Selain itu, kerja pembinaan infrastruktur awam utama dan kritikal; perkhidmatan perunding bagi kerja pembinaan dibenarkan beroperasi dan perkhidmatan dalam rantaian bekalan bagi kerja pembinaan.
The post CIDB guna dron kesan kerja binaan tidak kritikal, tiada jarak fizikal appeared first on Selangorkini.
