Jabatan pertanian serah 100kg buah, hargai petugas hadapan Media Selangor

16 Jun 2021 • 3:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 16 JUN : Jabatan Pertanian Negeri Selangor menyerahkan sumbangan lebih 300 kilogram (kg) buah-buahan tempatan kepada warga Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor), di sini hari ini.

Sumbangan pisang berangan seberat 300 kg serta 30 kg tembikai wangi disampaikan Pengarahnya Azahar Ibrahim kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Mohamed Fareed Ashaaree di Pejabat Media Selangor bertempat tingkat 11 Menara Bank Rakyat.

Azahar berkata inisiatif itu untuk menghargai kakitangan Media Selangor yang dianggap petugas barisan hadapan untuk menyampaikan berita terkini dan sahih terutama berkaitan isu Covid-19.

“Semua pisang berangan seberat 300 kg serta 30 kg tembikai wangi dibeli hasil petani di daerah Sabak Bernam, Klang dan Kuala Langat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya memperuntuk hampir RM100,000 untuk membeli hasil pertanian yang kurang permintaan sejak perebakan pandemik Covid-19.

“Hasil pertanian ini turut diserahkan kepada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di Selangor seperti hospital, balai polis, pusat vaksin dan penjara.

“Setakat ini sebanyak 100 tan metrik buah tidak terjual di tiga daerah (Klang, Sabak Bernam dan Kuala Langat). Insya-Allah kita akan membantu lebih ramai petani terjejas dan berharap inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.

The post Jabatan pertanian serah 100kg buah, hargai petugas hadapan Media Selangor appeared first on Selangorkini.