PETALING JAYA, 20 JUN: Seorang nenek yang membawa tiga cucu menjalani saringan percuma anjuran Kerajaan Selangor menangis sebak kerana terharu apabila dibantu ketika kesusahan.
Shahrull Samsi berkata mereka menjadi kontak rapat apabila ibu bapa cucunya itu disahkan positif Covid-19 pada Khamis dan kini ditahan di Pusat Kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang.
Risau dengan kesihatan cucunya, Shahrull, 67, membawa Muhammad Aisy Ariq Anaqi Fadil Fikri, enam bulan; Muhammad Firash Farhan, tiga tahun, dan Muhammad Ziyad Zafran, enam tahun, ke klinik swasta untuk diuji.
“Tapi terpaksa batalkan kerana caj sangat mahal cecah RM280 seorang. Bila dapat maklumat saringan ini makcik sanggup tunggu walaupun bimbang tahap kesihatan cucu.

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana bantu ringankan beban ketika pandemik ini. Prihatin terhadap rakyat susah,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, dua bayi berusia dua bulan antara peserta saringan pertama fasa tiga dianjurkan di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan.
Nor Athira Mohd Ihar, 30, berkata dia memilih waktu tidur Khaira Amira Khairul Naim, dua bulan, untuk menjalani ujian calitan bagi memastikan anaknya tidak menangis.
“Saya sedih bila dimaklumkan suami Khairul Naim Kasrun positif. Disebabkan itu saya dan anak yang baru habis pantang perlu diuji.

“Sejak suami disahkan positif saya hanya fikirkan keadaan anak ketika disaring. Saya risau dia sakit. Alhamdulillah dia tidak menangis dan tidur sahaja ketika proses saringan ini,” katanya.
Bagi Tuti Hasti Amir Shah, 35, beliau sanggup memandu hampir 30 kilometer dari Klang ke Petaling Jaya bagi mengetahui status kesihatan diri serta tiga anak berusia dua bulan hingga lapan tahun selepas suami disahkan positif.
“Suami kini dikuarantin di MAEPS. Dia yang daftarkan kami untuk saringan hari ini.
“Saya harap anak-anak tidak dijangkiti Covid-19. Walaupun terpaksa memandu jauh dengan membawa tiga anak, saya sanggup asalkan tahu status kesihatan,” katanya.
The post Anak positif Covid-19, nenek menangis bawa cucu buat saringan appeared first on Selangorkini.
