Enam jemaah solat fardu dan Jumaat, tiada aktiviti di masjid, surau

1 Jun 2021 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 1 JUN: Selangor mengeluarkan ketetapan baharu bilangan jemaah solat fardu dan Jumaat di masjid serta surau seluruh negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi Facebook memaklumkan ketetapan berkenaan berkuat kuasa mulai hari ini sehingga satu tempoh ditetapkan dari semasa ke semasa.

Berdasarkan info grafik yang lampirkan, hanya enam jemaah yang terdiri daripada pentadbir dibenarkan solat fardu dan Jumaat di masjid dan surau negeri ini.

Sementara itu, tiada jemaah dibenarkan solat Jumaat di surau kariah dan musolla kecuali enam orang termasuk pentadbir ketika solat fardu.

Senarai bilangan jemaah di masjid, surau musolla:

image is not available

Mohd Zawawi menambah semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau ditangguhkan, namun kuliah atau tazkirah dibenarkan secara dalam talian dari kediaman penceramah.

Menurutnya, pengurusan solat jenazah bukan Covid-19 pula dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah atau kaum kerabat terdekat tidak lebih 15 orang tidak termasuk pentadbir yang menguruskan jenazah.

“Pentadbir perlu terus memberi akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-panggilan, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Masjid dan surau boleh mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kepada mana-mana ahli kariah terjejas dengan PKP tetapi keutamaan dalam bentuk wang tunai yang disalur terus ke akaun penerima,” katanya.

The post Enam jemaah solat fardu dan Jumaat, tiada aktiviti di masjid, surau appeared first on Selangorkini.