Penghantar tidak boleh jumpa penghuni, letak barang di ruang khas

17 Jun 2021 • 7:09 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PETALING JAYA, 17 JUN: Pihak pengurusan strata dilarang membenarkan penghantar barangan atau makanan bertemu secara terus dengan penghuni bangunan.

Ketua Unit Penguatkuasa Cawangan Pengurusan Strata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata sebaliknya mereka perlu menyediakan tempat khas untuk meletak barangan pesanan.

“Jika mereka membenarkan penghantar terbabit atau pelawat memasuki kediaman penghuni, tindakan kompaun boleh dikenakan kerana melanggar SOP (tatacara operasi piawai) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain memastikan keselamatan semua, kita juga mahu mengekang wabak Covid-19 daripada menular. Tiada lagi kompromi dan tindakan akan diambil jika ada yang melanggar peraturan,” kata Inspektor Mohammad Izzat Hassan.

image is not available
Inspektor Mohammad Izzat Hassan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas Operasi Pematuhan SOP Pengurusan Strata bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Zenith Residences di sini hari ini.

Mohammad Izzat turut mengulas mengenai sistem keselamatan pihak strata yang kini dilihat masih lemah dan perlu diperketatkan.

“Sepanjang pelaksanaan operasi, kita dapati ada pengurusan melakukan kesalahan am iaitu tidak menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk, tidak imbas suhu malah ada yang tidak imbas kod MySejahtera.

“Setakat ini, kita hanya memberi amaran namun sekiranya didapati kesalahan sama berulang tindakan akan diambil,” katanya.

The post Penghantar tidak boleh jumpa penghuni, letak barang di ruang khas appeared first on Selangorkini.

View Original Article