Saringan Komuniti fasa dua selesai, lebih 97,000 individu disaring

12 Jun 2021 • 2:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 12 JUN: Seramai 97,565 warga Selangor menyertai Saringan Komuniti fasa dua anjuran Kerajaan Negeri secara percuma di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah terbabit 3.43 peratus iaitu 3,342 individu didapati berkemungkinan positif wabak dalam saringan dijalankan dari 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

“Terima kasih warga Selangor sekalian yang hadir dan tidak lupa para petugas serta agensi terlibat sepanjang program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar ini.

“Teruskan mengambil langkah proaktif dan sentiasa amalkan kawalan kendiri. Bersama kita mampu bebas daripada ancaman Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya saringan fasa tiga akan diteruskan ke kawasan mencatat kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu disaring.

Pada Khamis, Amirudin berkata lebih 100,000 penduduk Selangor menjalani ujian percuma itu menerusi dua fasa sejak diperkenalkan tahun lalu.

Fasa pertama dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu.

 

 

 

 

The post Saringan Komuniti fasa dua selesai, lebih 97,000 individu disaring appeared first on Selangorkini.