9 ditahan jalankan pertaruhan judi dalam Wechat

24 Jun 2021 • 11:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

BUKIT MERTAJAM - Sembilan individu termasuk empat wanita tempatan ditahan selepas menjalankan pertaruhan judi dalam talian di sebuah rumah sewa di Kampung Paya Tanah Liat, di sini pada jam 3.45 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kesemua tangkapan berusia 42 hingga 57 tahun itu ditahan ketika sedang leka menjalankan pertaruhan menggunakan aplikasi Live Wechat Group.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah SPT dalam Op Dadu ( judi dalam bangunan) selepas menerima maklumat awam.

"Tangkapan melibatkan lima lelaki dan empat wanita termasuk penganjur perjudian. Lelaki berusia 48 tahun itu juga mengakui menyediakan semua barang-barang berkaitan aktiviti pertaruhan.

"Sindiket ini beroperasi sejak tiga bulan dan menjadikan rumah sewa penganjur sebagai tempat berkumpul. Lapan tangkapan lain mengaku bekerja sebagai operator perjudian di bawah seliaan lelaki tersebut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya, sindiket itu menggunakan aplikasi Live Wechat Group sebagai platform penerimaan pertaruhan perjudian.

"Beberapa rampasan dibuat antaranya wang tunai berjumlah RM19,641; kertas putih;13 buah telefon bimbit, beberapa keping cip dan empat unit kalkulator.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 16 Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021," katanya.

Ends