
PETALING JAYA - Seramai lapan lelaki warga tempatan dikompaun RM1,500 kerana berkumpul serta menjalankan latihan persilatan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di sebuah rumah di kawasan Bandar Utama di sini pada jam 12.10 tengah hari.
"Kita mendapati sekumpulan individu sedang menjalankan aktiviti latihan persilatan tanpa mematuhi SOP ditetapkan iaitu ziarah dan berkumpul.
"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 26 hingga 51 tahun dikompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
