Permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin dibuka Ahad ini

18 Jun 2021 • 10:54 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 18 JUN: Permohonan rebat RM20 bagi perjalanan pergi dan balik atau RM10 sehala menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ke 34 pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor dibuka mulai Ahad ini.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata permohonan rebat yang sah bagi perjalanan mulai 1 Julai hingga 20 September itu boleh dibuat melalui laman sesawang, www.platselangor.com.

“Orang ramai boleh berhubung melalui emel csr@mbiselangor.com.my untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MBI berkata inisiatif itu yang sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya bakal memberi manfaat kepada individu berumur 50 tahun ke atas yang mempunyai aplikasi Grab.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat RM20 kepada pengguna perkhidmatan e-panggilan untuk ke PPV bermula 1 Julai ini.

Inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bakal memanfaatkan hampir 50,000 individu di negeri ini.

Beliau mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

The post Permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin dibuka Ahad ini appeared first on Selangorkini.