SHAH ALAM, 16 JUN: Saringan Komuniti fasa ketiga anjuran Kerajaan Selangor bermula Sabtu ini menyasarkan memeriksa 7,000 orang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.
Dua kawasan berkenaan dipilih kerana merekodkan kes Covid-19 tinggi berdasarkan keputusan saringan fasa dua di 56 DUN pada 8 Mei hingga 10 Jun lalu.
Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata saringan percuma berkenaan diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kampung Lindungan, PJS6, Petaling Jaya serentak bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
“Tempoh saringan akan dilanjutkan sehingga jam 6 petang sekiranya kehadiran ramai, masyarakat termasuk warga asing dijemput membuat pemeriksaan bagi kita mengesan pembawa wabak terutama yang tidak mempunyai gejala.
“Dalam mesyuarat hari ini kita anggarkan kehadiran 6,000 ke 7,000 orang, saya nasihatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak membawa bayi seperti berlaku sebelum ini bagi mengelakkan jangkitan,” kata Halimey Abu Bakar ketika dihubungi.
Wakil rakyat Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri pula berkata orang ramai harus memanfaatkan inisiatif Kerajaan Negeri demi mengekang penularan Covid-19.
“Sekarang Kerajaan Negeri fokus kepada saringan dan selepas ini beralih kepada pemberian vaksin pula,” katanya.
Saringan fasa ketiga di DUN Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer juga dijalankan serentak Ahad ini manakala Kajang pada 26 Jun selain Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa 27 Jun.
The post Saringan Komuniti fasa tiga bermula Sabtu, sasar 7,000 orang di dua DUN appeared first on Selangorkini.


