ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO), Dhuafa Sejahtera meminta orang ramai menggunakan kaedah lebih bersesuaian untuk memaklumkan terputus bekalan makanan berbanding mengibarkan bendera putih di hadapan rumah.
Pengerusinya, Mohd Amin Ismail berkata, penduduk terputus bekalan makanan boleh menghubungi pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan kerana terdapat banyak saluran untuk mendapatkannya seperti agensi, pemimpin atau NGO termasuk Dhuafa Sejahtera sendiri.
"Kami memang membantu dan menyalurkan sumbangan barangan serta membaik pulih beberapa kediaman uzur. Orang terdesak memerlukan bantuan, cuma perlu membuat carian saluran di laman web, hubungi dan beri maklumat kepada pihak berkaitan.
"Platform membantu rakyat sudah sedia ada seperti wakil rakyat, kerajaan, pembangkang atau NGO. Ada kaedah lain untuk memberitahu bahawa seseorang itu menghadapi kesusahan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pihaknya kurang bersetuju dengan kempen kibar bendera putih sekali gus menyifatkan ia lebih bermotifkan politik.
"Kempen bendera putih ini dikhuatiri mampu memberi kesan buruk, misalnya dari segi emosi jika bantuan diharapkan tidak tiba sekiranya ada kemungkinan terlepas pandang bendera yang dikibarkan," katanya.
Tambah beliau, masalah kesempitan dialami sebilangan penduduk hingga terputus bekalan makanan juga boleh diselesaikan tanpa memerlukan kempen bendera putih jika semua pihak termasuk jiran tetangga berganding bahu membantu antara satu sama lain.



