Saiz Kecil Tapi Agresif, Perhilitan Ambil Masa 4 Jam Pindah Gajah Liar

LocalEnvironment
29 Jun 2021 • 3:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PADANG TERAP - Meskipun bertubuh kecil, sifat agresif seekor gajah liar jantan seberat tiga tan yang sering berkeliaran di kawasan penempatan penduduk di Kampung Batu Pengasah, Durian Burung dekat sini, memberi cabaran kepada petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ketika berusaha memindahkan mamalia terbabit ke habitat lebih sesuai, hari ini.

Bagaimanapun setelah berusaha selama empat jam iaitu sejak 8 pagi tadi, gajah terbabit berjaya dinaikkan ke atas sebuah lori untuk dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum, Perak.

Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir, haiwan tersebut terlebih dulu berjaya ditangkap pada Ahad lalu setelah pihaknya menerima aduan dari penduduk berhampiran.

"Aduan mengenai kehadiran gajah ini kami terima sejak pertengahan Mei lalu dan yang terbaru, haiwan tersebut dikatakan muncul di kawasan penempatan penduduk Sabtu lepas.

"Para pegawai dan anggota kami yang membuat pemantauan kemudiannya berjaya menangkap gajah itu pada Ahad. Alhamdulillah, hari ini operasi untuk memindahkan haiwan berkenaan berjalan lancar walaupun gajah tersebut pada awalnya bersifat amat agresif," katanya.

image is not available
Gajah ini berjaya ditangkap selepas usaha menangkapnya dijalankan selama 4 jam.

Usaha memindahkan gajah tersebut turut mendapat bantuan dua gajah denak, dikenali sebagai Kasturi dan Rambai yang didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang.

image is not available
Gajah liar yang dianggarkan berusia kira-kira 30 tahun ini dimasukkan ke dalam lori untuk dipindahkan.

Gajah liar tersebut dianggarkan berusia kira-kira 30 tahun dan sering bergerak secara tunggal tanpa mempedulikan kawanan yang berada dalam hutan tersebut.

Jamalun menambah, ini merupakan kali keempat pihaknya menangkap dan memindahkan gajah dari habitat haiwan terbabit di negeri ini, pada tahun ini.

image is not available
Kasturi dan Rambai didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah untuk membantu proses pemindahan gajah liar berkenaan.

"Kebiasaannya kami hanya menghalau gajah kembali ke hutan namun kali ini, haiwan itu seakan tidak mahu kembali ke habitat asalnya dan kerap memasuki kawasan penempatan serta merosakkan tanaman.

"Jadi kita tiada pilihan selain menangkap dan memindahkan mamalia itu ke kawasan lebih sesuai," katanya. - Getaran, 29 Jun 2021