Oculus Menghentikan Seketika Jualan Peranti Realiti Maya Quest 2 Kerana Masalah Iritasi Kulit

TechnologyDigital
28 Jul 2021 • 6:25 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Oculus ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk siri peranti realiti maya mereka, yang mana diantaranya dinamakan Oculus Rift. Salah satu kelebihan utamanya apabila dibandingkan dengan HTC Vive khususnya ialah ia lebih mudah untuk digunakan.

Terkini, Oculus telah mengeluarkan pengumuman bahawa mereka akan menghentikan seketika jualan peranti Oculus Quest 2 terbaru mereka kerana sejumlah pengguna telah melaporkan masalah iritasi kulit selepas menggunakannya untuk seketika.

image is not available

Melalui kenyataan yang dikeluarkan Oculus, sebanyak 5716 kes tentang iritasi kulit dilaporkan kepada mereka, yang mana 45 daripada kes tersebut dikatakan perlu memasuki hospital untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Oculus mengatakan sebab para pengguna ini menghadapi masalah ini ialah kerana penggunaan pelitup muka yang diperbuat daripada bahan yang menyebabkan kegatalan dan iritasi setelah ia digunakan untuk sejumlah masa.

image is not available

Oculus berkata bahawa jumlah pengguna yang terkesan akibat isu ini ialah kecil buat masa ini, tetapi telah mengambil keputusan untuk menghentikan jualan peranti ini untuk membolehkan mereka memuatkan penutup muka silikon yang diharap tidak memberi masalah kepada kulit muka pengguna.

Mereka juga dijangka akan menghantar penutup muka silikon ini kepada para pengguna yang menghadapi masalah kulit selepas menggunakan peranti Quest 2.

Setakat ini, Oculus telah menjual sebanyak 4.2 juta peranti Oculus Quest 2 ini, yang mana mereka akan memperkenalkan sebuah model baru dengan storan terbina sebesar 128GB yang akan menggantikan model 64GB apabila ia dijual semula pada 24 Ogos kelak.