RM200 Punya Pasal, 2 Polis Ditahan Peras Penyelenggara Lampu

16 Jul 2021 • 3:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Dua anggota peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ditahan selepas disyaki memeras seorang penyelenggara lampu sebanyak RM200 yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam semalam, dua anggota peronda terbabit dikatakan menahan sebuah kereta dinaiki mangsa berusia 27 tahun bersama rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota berkenaan mendakwa, mangsa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana menaiki kenderaan melebihi had ditetapkan.

Menurut beliau, anggota berkenaan kemudian mengarahkan mangsa menghubungi majikannya dan memberikan telefon untuk bercakap.

“Mangsa selepas itu diminta menyerahkan RM200 kepada dua anggota terbabit, menyebabkan dia bertindak memuat naik ciapan di Twitter bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan tersebut.

“Bertindak atas maklumat, kita menahan dua anggota terbabit pada jam 2.45 pagi tadi dan merampas wang tunai RM200 yang disyaki hasil pemerasan terhadap mangsa,” katanya di sini hari ini.

Kedua-dua suspek berpangkat Lans Koperal dan Konstabel.

Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua anggota terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan sebarang kesalahan jenayah,” katanya. - Getaran, 16 Julai 2021