Inisiatif vaksin secara terus untuk golongan tercicir, tiada janji temu

19 Jul 2021 • 5:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 19 JULAI: Tidak semua pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan Selangor terlibat dengan proses pemberian vaksin tanpa janji temu yang bermula Ogos ini.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata pihaknya menyangkal mesej tular sebelum ini berhubung senarai 56 PPV yang didakwa boleh dikunjungi orang awam tanpa janji temu untuk mendapat suntikan.

“Sebaliknya, inisiatif secara terus ini adalah untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu selepas 1 Ogos dan bukan untuk individu yang sudah ada tarikh.

“Contoh golongan yang belum mendapat janji temu adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan seperti diterangkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pada 16 Julai lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, CITF menyeru mereka yang telah menerima janji temu vaksin untuk hadir pada tarikh dan lokasi PPV yang diberikan.

“Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang telah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.

“Manakala, bagi individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian digalakkan segera daftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” katanya.

The post Inisiatif vaksin secara terus untuk golongan tercicir, tiada janji temu appeared first on Selangorkini.