Vaksin Sinovac Kini Diiktiraf Arab Saudi - Menteri

LocalPolitics
13 Jul 2021 • 7:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke negara berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, justeru tiada kerisauan lagi kepada ahli keluarga yang tidak dapat menunaikan haji atau umrah kerana diberikan vaksin.

``Fokus kita adalah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk pastikan lebih ramai mendaftar dan hadir untuk vaksinasi,'' katanya menerusi ciapan di dalam twitter.

Berikutan pengiktirafan itu, Zulkifli berkata, orang ramai boleh menyampaikan berita gembira itu kepada ahli keluarga yang berniat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa akan datang.

"Sama-Sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini dipermudahkan Allah SWT.

Zulkifli turut berkongsi pautan ke laman sesawang Kementerian Kesihatan Arab Saudi https://eservices.moh.gov.sa untuk rujukan permohonan masuk ke negara itu. 

Dengan perkembangan terbaharu ini,  Arab Saudi kini mengiktiraf enam jenis vaksin bagi COVID-19 iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Janssen, Sinopharm dan Sinovac. 

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan membuat ketetapan hanya jemaah yang menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca dibenar menunaikan haji sekali gus menimbulkan keresahan rakyat Malaysia yang menerima vaksin Sinovac. - Getaran, 13 Julai 2021