Mobile Outreach PKD Sabak Bernam Bantu Penduduk Terima Vaksin COVID-19

8 Jul 2021 • 3:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

SUNGAI BESAR - Ketika orang ramai terpaksa hadir untuk mendapatkan imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam berganding bahu bagi membolehkan lebih ramai penduduk daerah itu menerima suntikan berkenaan.

Program Mobile Outreach dari rumah ke rumah kelolaan  Jawatankuasa Bencana diketuai PDT Sabak Bernam itu adalah yang pertama diadakan secara bergerak di Selangor bermula awal bulan ini.

image is not available
Mencari kediaman penerima boleh menjadi satu cabaran kerana sesetengah dari mereka tidak mempunyai alamat yang lengkap.

Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr. A. L. Liza Abd. Latip berkata, program ini diwujudkan ekoran peratusan pendaftaran agak rendah di daerah tersebut, antara lain disebabkan faktor usia dan masalah pengangkutan penduduk, yang majoritinya terdiri daripada warga emas dengan kesukaran untuk bergerak.

“Kami sedia maklum keadaan mereka kerana majoriti adalah pesakit yang mempunyai rekod kesihatan dengan PKD,” katanya kepada Getaran di sini baru-baru ini.

image is not available
Program Mobile Outreach ini juga menyasarkan golongan kurang upaya dan pesakit psikiatri yang sukar bergerak ke PPV ditetapkan.

image is not available
Petugas kesihatan menjalankan proses vaksinasi dari rumah ke rumah bagi penduduk menerusi Program 'Outreach' Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Daerah Sabak Bernam.

image is not available
Seorang lelaki mendapat suntikan vaksin daripada petugas kesihatan menerusi Program Mobile Outreach.

image is not available
Seorang warga emas menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin.

Program berkenaan dikendalikan 10 petugas kesihatan, termasuk dua doktor dan dilengkapi dengan dua buah van, bersama sasaran untuk memberi suntikan kepada sekurang-kurangnya 226 penduduk yang telah berdaftar sehingga akhir September 2021.

Mereka turut menetapkan sasaran untik mengunjungi sekurang-kurangnya 15 hingga 30 buah rumah sehari bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

image is not available
Pasukan ini mengalami cabaran dalam mengekalkan suhu penyimpanan vaksin dan perlu membuat pemantauan setiap jam.

Dr. A. L. Liza memberitahu, proses vaksinasi Mobile Outreach itu mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit bagi setiap isi rumah dan ahli keluarga yang masih belum mendapat tarikh temujanji melalui aplikasi My Sejahtera juga akan diberikan suntikan terbabit.

“Ini dapat membantu meningkatkan peratusan penduduk bagi mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 di  Sabak Bernam,” katanya.

image is not available
Tugas pertama yang harus dilakukan apabila sampai ke rumah penerima adalah mencari kawasan lapang, terang dan bersih untuk menyediakan kelengkapan vaksin.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Sabak Bernam, Dr. Siti Diyana Ibrahim menjelaskan, cabaran terbesar dihadapi  pasukan berkenaan ialah mengekalkan suhu untuk penyimpanan vaksin.

“Cabaran paling besar ialah membuat persediaan bekalan ais yang mencukupi. Setiap jam, kami perlu memastikan suhu berada pada tahap yang sepatutnya, jadi jika bekalan ais berkurangan, kami perlu segera menambah bekalan,” katanya.

image is not available
Seorang warga emas yang layak untuk mengikuti Program ‘Outreach’ Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Daerah Sabak Bernam menerima suntikan vaksin.

Tambah beliau, cabaran lain termasuk proses menyuntik pesakit psikiatri dan menenangkan penerima vaksin yang terdiri daripada golongan kelainan upaya (OKU) bagi melancarkan proses pemberian.

“Selain itu, capaian internet juga merupakan kekangan yang perlu kami tempuhi ekoran kemaskini pemberian vaksin memerlukan internet,” katanya.

image is not available
Cabaran untuk memvaksin golongan OKU adalah petugas perlu mendapatkan kepercayaan mereka terdahulu untuk melancarkan proses pemvaksinan.

Dalam pada itu, Pembantu Kesihatan Awam yang juga merupakan pemandu van, Kamarulariff Samsuddin berkata, antara kesukaran yang terpaksa ditempuh ialah mencari kediaman penerima tanpa alamat lengkap.

“Kadang-kala, kami tersesat kerana alamat yang diberikan tidak sama dengan lokasi sebenar rumah penerima vaksin. Ditambah pula dengan ketiadaan liputan talian, lebih menyukarkan lagi urusan vaksinasi,” katanya.

Untuk rekod, hanya 51.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 128,615 penduduk di daerah ini telah mendaftar untuk divaksinasi dan PKD Sabak Bernam menyasarkan sekurang-kurangnya 108,892 penerima bagi mencapai imuniti kelompok tahun ini. - Getaran, 8 Julai 2021.