Polis siasat video tular tiga sekeluarga minum racun

15 Jul 2021 • 1:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Polis menyiasat klip video memaparkan tiga individu berpura-pura meminum racun dengan mendakwa konon tertekan akibat penularan Covid-19 di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, indvidu dalam klip video tersebut turut mempertikaikan usaha kerajaan dalam menangani kes pandemik Covid-19.

"Siasatan lanjut dijalankan berhubung penularan video dengan kapsyen "please do not call me until finish watching" yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa Covid-19 telah menyebabkan tekanan serta kemurungan di kalangan rakyat sekali gus menyumbang kepada kes bunuh diri di Malaysia.

"Siasatan dijalankan mendapati antara minit ke 11.15 hingga 11.25, suspek mengakui tindakan yang dibuat merupakan 'role play' dan cecair diminum bukan racun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, kertas siasatan akan segera dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal atau emosi dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran kepada awam.

"Selain itu siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar," katanya.

Menurutnya, tindakan menularkan perlakuan 'bunuh diri di media sosial boleh mengundang kepada 'copycat suicide' bagi mereka yang berisiko.

Satu klip video berdurasi 16 minit tiga saat memaparkan rakaman tiga sekeluarga yang berpura-pura meminum racun akibat kemurungan tular di media sosial.

Individu di dalam video tersebut turut mempertikaikan usaha dan menggesa kerajaan agar mengambil tindakan drastik dalam menangani isu pandemik covid-19 yang menyebabkan tekanan serta kemurungan di kalangan rakyat sekali gus menyumbang kepada kes bunuh diri di Malaysia.

Klip video tersebut mendapat 252 respon, 93 komen, 246 perkongsian dan 6,300 tontonan sejak ditularkan di media sosial dua hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:Pasangan suami isteri buat video minum racun ditahan