KLANG, 18 JULAI: Seramai 1,600 penduduk Taman Desawan, Klang Jaya menjadi komuniti pertama negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19.
Dato’ Menteri Besar berkata format baharu diperkenalkan bagi mengawal perebakan wabak memandangkan kawasan terbabit mencatatkan kes mencecah 100 jangkitan dalam tempoh sebulan ini.
“Sepatutnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dicadangkan namun kes kembali menurun. Jadi kita buat keputusan untuk vaksin penduduk yang negatif selepas saringan dibuat.
“Anggaran awal melibatkan 2,000 orang namun ada yang mendapat janji temu di MySejahtera. Jadi kita hanya suntik individu masih belum terima tarikh giliran vaksin,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.
Terdahulu beliau meninjau proses vaksinani di Dewan Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Selangor.
Jelas Amirudin langkah itu merupakan pendekatan kedua dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan pejabat kesihatan daerah bagi melindungi rakyat daripada jangkitan pandemik.
“Sebelum ini kita ambil langkah vaksin penduduk dalam kawasan PKPD. Dua cara tersebut dibuat mengikut kesesuaian sesuatu kawasan supaya proses suntikan senang diurus.
“Taman perumahan ini ada kemudahan dewan jadi memudahkan penghuni,” katanya.
Sebelum ini JKNS melaksanakan proses suntikan imunisasi kepada penduduk dikenakan PKPD dengan kumpulan pertama melibatkan penghuni Mentari Court, Petaling Jaya.
The post Penduduk Taman Desawan jadi komuniti pertama terima vaksin appeared first on Selangorkini.

