SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM945,000 untuk Program Sekolah Pintar TNB di 11 sekolah luar bandar di negara ini bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, 11 sekolah itu juga terpilih untuk program yang sama tahun ini dengan bantuan RM315,000 bagi aktiviti kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan.
Beliau memberitahu, bermula Program Sekolah Pintar TNB terus meningkatkan pencapaian akademik, bakat dan kecemerlangan menyeluruh lebih 4,088 pelajar di sekolah terpinggir.
Jelas beliau, TNB menerusi Program Sekolah Amanah pula membelanjakan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun untuk program transformasi pendidikan di lapan sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan.
Katanya, usaha sama dengan Kementerian Pendidikan serta Yayasan Amir, di bawah Khazanah Nasional memberi manfaat kepada 6,991 pelajar di sekolah pinggir bandar.
“Bagi membantu murid dari keluarga miskin bandar di sekitar Ibu pejabat TNB di Bangsar, kami memberikan elaun bernilai RM1,500 setahun dalam tempoh tiga tahun untuk setiap pelajar sejak 2018.
“Sehingga 2020, sebanyak RM513,000 bantuan ini telah pun dimanfaatkan 150 pelajar.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, TNB menyokong usaha merapatkan ruang digital menerusi penyediaan laptop, tablet dan talian data untuk 150,000 pelajar sekolah menengah di bawah tajaan Tabung Cerdik (Cerdik) anjuran Yayasan Hasanah.
Tambahnya, TNB merupakan sebahagian penaja utama dengan sumbangan bernilai RM5 juta kepada 3,165 pelajar daripada RM150 juta jumlah tajaan keseluruhan kepada 150,000 pelajar.
“Bagi program Ceria Ke Sekolah, seramai 30,000 murid keluarga B40 telah dan bakal terima sumbangan kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM3 juta tahun ini.
“Kami telah peruntukkan RM395,000 untuk menyumbangkan cermin mata percuma kepada lebih 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah Program Better Brighter Vision (BBV),” katanya.
Selain itu, Mahdzir berkata, TNB memberikan pelbagai bentuk tajaan pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada lebih 96 sekolah di seluruh semenanjung bagi menjayakan aktiviti sekolah dengan nilai sumbangan RM536,000 sehingga Jun 2021.

