Teks ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari
Setinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk meraikan anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya semenjak tahun 2015. Saya berasa sangat gembira kerana usaha yang saya mulakan ketika menjadi EXCO Kebudayaan pada ketika itu masih dapat diteruskan walaupun dalam suasana yang berbeza ketika pandemik melanda kerana kita tidak dapat bersua muka dan berjabat salam seperti di dalam sebuah majlis sebelum ini.
Sudah tentu Hadiah Sastera Selangor bukan semata-mata bertujuan untuk menjadi sebuah acara sastera biasa yang dianjurkan untuk memberi penghargaan kepada penulis. Tetapi juga harus menjadi wadah yang dapat meningkatkan mutu penulisan dari tahun ke tahun. Oleh kerana itu, daripada awal lagi saya menekankan tentang peri pentingnya penilaian terhadap karya-karya yang dihantar dibuat oleh juri-juri yang berpengalaman dan profesional, terdiri daripada penulis, wartawan, penterjemah dan juga penggiat sastera yang berwibawa.
Mereka bukan sahaja diberi sepenuh kebebasan untuk memilih para pemenang tetapi juga perlu menyiapkan laporan penjurian yang akan menjadi kayu ukur kepada kemajuan hadiah sastera ini dari tahun ke tahun. Saya percaya laporan ini juga dapat menjadi rujukan kritis kepada para penulis terutamanya generasi baharu untuk meningkatkan mutu karya mereka.
Saya sempat meneliti laporan penjurian di mana secara umumnya kita dapat mengatakan
bahawa terdapat sedikit penurunan kualiti karya pada tahun lalu sehingga memaksa para juri memberikan hadiah penghargaan untuk setiap kategori dan tidak diberikan atau diumumkan pemenang-pemenang hadiah utama. Laporan penjurian yang diselia oleh Dr Faizal Musa juga memberikan kritikan dan saranan yang saya percaya sangat berguna untuk diteliti oleh penulis-penulis muda agar mereka dapat meningkatkan lagi mutu penulisan mereka di masa akan datang.
Dalam majlis bersama terakhir kita pada 2019, saya telah mencadangkan untuk melaksanakan master class, namun disebabkan pandemik pada 2020, ia tidak dapat dilaksanakan. Mungkin ini sebahagian kaedah yang boleh dipertingkatkan di masa hadapan, di kalangan juri ataupun di kalangan penulis-penulis yang telah termashyur atau ternama serta menempatkan tempat dan nama mereka pada persada sastera dan kesenian dalam negara boleh dilaksanakan pada masa depan untuk meningkatkan kualiti penulisan dan karya dihasilkan. Ini adalah cabaran yang perlu disahut oleh penulis-penulis muda dan generasi baharu kerana mereka seharusnya menghasilkan karya yang lebih baik daripada generasi terdahulu disebabkan pendedahan dan capaian yang lebih luas pada masa kini.
Sejarah pembentukan negara ini jika ditelusuri terkait rapat dengan perjuangan bahasa dan persuratan Melayu. Kesedaran untuk mempelajari bahasa Melayu dengan serius boleh dikatakan bermula pada pertengahan abad ke-19 oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang menerbitkan Hikayat Abdullah pada tahun 1849. Di dalam Hikayat tersebut Abdullah menyatakan kekesalannya kerana ramai di kalangan orang Melayu tidak mahu mempelajari bahasanya sendiri kerana bagi beliau tanpa kemahiran bahasa, ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang tidak dapat disebarkan secara tuntas.
Benih pemikiran Abdullah ini kemudiannya tumbuh menjadi sebuah organisasi penting dalam memperjuangkan kemajuan bahasa Melayu apabila tertubuhnya Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa di Johor Bahru pada tahun 1888 di mana salah seorang pengasasnya adalah Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi anak lelaki Abdullah Munsyi. Pakatan menjadi kolektif atau perkumpulan pertama di Tanah Melayu yang menyusun kegiatan pembinaan dan pengembangan bahasa dalam negara pada ketika itu.
Di zaman yang penuh pergolakan dan ancaman penjajahan Pakatan tersebut menjadi lembaga yang merangka tatabahasa dan mencipta istilah baharu seperti ‘setiausaha’, ‘pejabat’, ‘kerja raya’, ‘jadual waktu’, ‘warta’ dan banyak lagi. Penubuhan Pakatan juga menjadi inspirasi kepada penubuhan persatuan-persatuan bahasa di negeri-negeri lain kemudiannya.
Antaranya adalah penubuhan persatuan Sahabat Pena Malaya yang diusahakan oleh Syed Sheikh Alhadi di Pulau PInang pada tahun 1930an yang kemudiannya meluas ke negeri-negeri lain juga. Persatuan ini juga pernah menganjurkan persidangan pertama orang Melayu di Tanah Melayu yang diadakan di Taiping, Perak. Ketika itu juga terdapat Pejabat Karang Mengarang yang diketuai oleh Za’ba yang menerbitkan dan menterjemah buku-buku untuk kegunaan pelajar-pelajar di sekolah.
Nama-nama yang saya sebutkan tadi bukan saja terlibat dalam bidang kesusasteraan dan penulisan atau persuratan. Nama mereka bukan saja masyhur, menerbitkan karya-karya yang hebat, terkenal dan berwibawa sampai ke hari ini. Namun nama-nama tersebut juga terlibat dalam buku-buku sejarah sebagai pejuang dan juga pelopor gerakan kemerdekaan yang membawa kepada kebebasan kepada negara kita. Ramai di kalangan tokoh-tokoh nasionalisme Melayu seperti Datuk Onn Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Ibu Zain, Pak Sako dan Burhanuddin Al-Helmi terlibat rapat di dalam perjuangan bahasa ini. Seperti yang dinyatakan oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain, melalui organisasi ini mereka belajar menulis melalui surat-surat yang diutus sesama mereka dan juga tulisan yang disiarkan di dalam majalah dan penerbitan berkala.
Perjuangan bahasa ini seterusnya menjadi sebahagian daripada aspirasi kemerdekaan di mana peranan ASAS 50 yang menjadi kumpulan pendesak melalui siri-siri penganjuran Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu meletakkan dasar dalam pembinaan bahasa dan kesusasteraan Melayu di dalam konteks pembangunan negara bangsa.
Sejarah panjang perjuangan bahasa ini perlu difahami sebagai sebahagian daripada kesedaran sejarah pembentukan negara ini. Kita dapat melihat bagaimana kecintaan terhadap bahasa membentuk sikap anti kolonialisme dan membuka jalan kepada pemikiran yang mandiri sehingga menjadi satu perjuangan menuntut kemerdekaan dan mendirikan sebuah negara yang berdaulat.
Apa sahaja perubahan yang kita canangkan tidak akan lengkap tanpa kemajuan bahasa dan kesusasteraan. Perubahan yang sebenar bukan semata-mata perubahan politik atau kuasa tetapi juga mesti berlatarkan perubahan kebudayaan.
Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan komitmen dan usaha untuk meningkatkan mutu bahasa Melayu misalnya melalui penterjemahan karya-karya besar dunia daripada pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu dan juga penganjuran Hadiah Sastera Selangor setiap tahun. Saya juga dimaklumkan bahawa untuk edisi yang seterusnya penilaian Hadiah Sastera Selangor akan diperluaskan kepada karya-karya yang terbit di akhbar lain. Media Selangor akan menjalinkan kerjasama strategik dengan akhbar-akhbar arus perdana yang lain dan juga organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Kategori novel juga akan diperkenalkan untuk dinilai oleh juri.
Saya sangat menyedari bahawa di dalam tempoh pandemik yang sukar ini ramai pemain- pemain industri kreatif dan penggiat seni tidak dapat bergerak dan berkarya seperti biasanya. Namun saat ini juga memerlukan kelompok kreatif ini untuk merakamkan momen penting di dalam sejarah manusia ini dan diangkat secara halus sebagai karya seni sama ada di dalam bentuk filem, catan, lagu dan juga fotografi. Inilah yang saya sebutkan tadi, bagaimana perjuangan dan pergelutan sebelum kemerdekaan telah menganjak rakyat dan warga dalam negara kita untuk bersama-sama menuntut kemerdekaan. Dalam beberapa momen penting dalam negara, karya-karya, sastera, seni dan kebudayaan menaungi dan melatari latar-latar dan bukan saja merakam detik-detik penting namun begitu pengalaman kita dalam menuntut kemerdekaan, pengalaman kita berdepan krisis tahun 80 dan 90-an telah menyediakan pintu- pintu ruang keterbukaan dan pintu-pintu jalan penyelesaian terhadap krisis yang kita lalui.
Justeru, Kerajaan Negeri akan umumkan dalam masa terdekat, insya-Allah kita sedang teliti dan sedang melihat secara komprehensif bagaimana ingin membantu pengkarya seni dan juga mereka yang terlibat secara langsung dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian sama ada catan atau perfileman dan juga penerbitan lagu dan karya-karya lain ini untuk dapat menyumbang buah fikiran mereka dalam bentuk karya namun akan dibiayai sebahagiannya oleh Kerajaan Negeri supaya mereka dapat menyambung hidup mereka, serta melaksanakan kehidupan yang terdesak ketika pandemik ini. Saya mahu mereka menyumbangkan karya dan kreativiti mereka untuk sama-sama memikirkan bagaimanakah rupa kita ketika berdepan krisis ini, bagaimanakah wajah kita ketika melalui detik-detik yang sukar ini. Apakah cabaran-cabaran di depan, apakah sudut-sudut dan bingkai yang mungkin tak dapat dilihat oleh mereka yang tidak dapat mendalami setiap perkara dan detik yang kita lalui. Insya-Allah, saya akan umumkan dalam masa terdekat bekerjasama dengan EXCO Kebudayaan supaya dapat angkat semua kelompok, kita pastikan tidak ada yang tertinggal di Selangor walaupun kita berdepan dalam detik yang sukar dan mencemaskan.
Akhirul kalam, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Semoga anda semua terus bersemangat untuk berkarya dan menghasilkan penulisan yang berkualiti yang dapat menjadi sebahagian daripada khazanah sastera dunia. Terima kasih juga dengan komitmen daripada YB Tuan Borhan Aman Shah, En Mohamed Fareed Asharee dan juga pasukan Media Selangor. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan pelancaran buku Si Pena, antologi keempat Hadiah Sastera Selangor 2020.
Teks ini dibacakan pada majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 yang disiar dalam Facebook Media Selangor malam tadi.
The post Penilaian karya Hadiah Sastera Selangor kian meluas appeared first on Selangorkini.

