Lelaki Didakwa, Tipu Fizz Fairuz Berhubung Projek Pembersihan DBKL

27 Jul 2021 • 5:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu pelakon Datuk Mohd Fairus Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz berhubung projek pembersihan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan lepas.

Khairul Khuzaini Zamsani, 26, didakwa menipu Mohd Fairus, 42, untuk mempercayai bahawa tertuduh memiliki projek pembersihan daripada DBKL berjumlah RM1.8 juta sehingga mendorong pelakon itu memasukkan  wang berjumlah RM18,100 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Khairul Khuzaini dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Dutamas Raya Mont Kiara di sini pada 3.52 petang, 6 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman  penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Khairul Mukhtar yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM2,000 atas  alasan  anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Majistret Tawfiq Affandy Chin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Sept depan untuk sebutan semula kes. - Bernama