PETALING JAYA, 1 JULAI: Sebanyak RM50,000 diperuntuk untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 15 lokasi panas pembuangan sampah haram sekitar Bandar Utama, kata Ahli Dewan Negeri.
Jamaliah Jamaluddin berkata dana di bawah geran Taman Selamat Untuk Semua (TaSS) bertujuan mencegah sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa sesuka hati terutama di kawasan perumahan.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat kita untuk memastikan keselamatan dan keselesaan masyarakat terjamin sepanjang masa.
“Antara isunya adalah sampah dibuang oleh pemandu lori yang melalui kawasan perumahan selain sikap segelintir masyarakat yang melonggok sampah di lokasi haram,” katanya selepas meninjau CCTV di SS20 di hari ini.
CCTV yang dipasang secara berperingkat bermula lokasi pertama di SS20 pada 31 Mei lalu akan dipantau jabatan penguatkuasaan di bilik kawalan terletak di Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Mengulas lanjut, Jamaliah berkata pihaknya sedang mengenal pasti 50 kawasan untuk pemasangan papan tanda amaran larangan membuang sampah.
“Kita harap semangat ‘kita jaga kita’ bukan diamalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melawan Covid-19 sahaja tetapi juga demi keselamatan dan ketenteraman kawasan setempat,” katanya.
The post Sebanyak 15 CCTV dipasang, atasi longgokan sampah haram appeared first on Selangorkini.

