SHAH ALAM, 9 JULAI: Individu positif Covid-19 dinasihat hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Melawati di sini pada sebelah pagi bagi mengelak kesesakan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan berlaku sedikit kekeliruan berhubung situasi sebenar di CAC tersebut menerusi gambar yang dimuat naik semalam.
Dalam Facebook hari ini, kementerian itu menjelaskan situasi pada sebelah pagi terkawal dan lengang, namun mula sesak pada tengah hari dengan kehadiran pesakit Covid-19 untuk penilaian lanjut.
“Sebahagian besar pesakit Covid-19 pada hari berkenaan dari kategori 1 dan 2. Sehubungan itu, individu positif dinasihatkan datang sebelah pagi bagi mengelak kesesakan kerana proses penilaian juga mengambil sedikit masa,” katanya.
KKM memohon maaf atas kekeliruan sehingga menimbulkan salah faham orang ramai terutama petugas kesihatan di lapangan.
Kategori 1 pesakit Covid-19 adalah tidak bergejala manakala kategori 2 bergejala tanpa radang paru-paru.
The post KKM: Datang CAC Stadium Melawati sebelah pagi, elak sesak appeared first on Selangorkini.




