Isu RM70 Juta MySejahtera, Polis Buat Tangkapan Kedua

23 Jul 2021 • 7:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Seorang lagi pengguna Twitter ditahan polis petang tadi, susulan ciapan yang mempertikaikan aplikasi MySejahtera.

Peguam Syahredzan Johan berkata, penganalisis kewangan dikenali menerusi akaun @nizamiks itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Menurut beliau, penahanan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa siri ciapan mengenai peruntukan RM70 juta yang diberikan ke atas MySejahtera.

"Peguam Rajsurian Pillai memaklumkan, @nizamiks akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan permohonan reman.

"Ini adalah penahanan kedua selepas @ChairmanGLC tempoh hari," katanya.

Getaran difahamkan, kesemua ciapan berkenaan sudah dipadam oleh pihak polis, selaras dengan kuasa diberikan menurut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Sementara itu, @nizamiks turut mengesahkan penahanannya di Balai Polis Wangsa Maju pada jam 3 petang hari ini. - Getaran, 23 Julai 2021