SHAH ALAM, 20 JULAI: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang diwujudkan di seluruh negara terletak bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor berkata Kerajaan Negeri hanya membantu menambah sukarelawan dan mengatasi kesesakan seperti di Stadium Malawati.
“Kesihatan adalah bidang kuasa persekutuan atau KKM, justeru apabila CAC ditubuhkan itu bawah kerajaan persekutuan. Selangor hanya beri penambahbaikan,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli.
Beliau berkata demikian dalam Forum Tanya Apa Saja bertajuk Kes Tinggi di Selangor: Tutup Kilang Solusi Terbaik? secara langsung di Facebook, kelmarin.
Sementara itu, ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor Dato Dr Khalid Ibrahim memuji langkah Kerajaan Negeri yang menempatkan sukarelawan di CAC.
“Kerajaan Selangor amat baik kerana menempatkan sukarelawan dari negeri ini di CAC…majoriti ditanggung Selangor,” katanya.
CAC ditubuhkan di seluruh negara pada akhir Januari lalu bagi memantau keadaan dan tahap kesihatan pesakit yang dijangkiti Covid-19.
Pesakit akan ditentukan sama ada sesuai kekal di rumah atau dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital jika perlu.
The post CAC bawah persekutuan, Selangor hanya bantu aspek sukarelawan appeared first on Selangorkini.

