SHAH ALAM, 13 JULAI: Varian Delta yang semakin pantas merebak antara faktor mendorong peningkatan kes Covid-19 dalam negara, kata ketua pengarah kesihatan.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan varian itu berada pada kadar kebolehjangkitan (Rt) antara 5 hingga 8, jauh lebih tinggi berbanding di Wuhan, China sekitar 2.5 hingga 3.
“Bererti kalau 100 orang dijangkiti, ia boleh menjangkiti 800 orang lagi dalam tempoh yang singkat. Varian ini merebak dengan cepat dan jangkitan melalui udara.
“Jadi kita kena ambil tindakan untuk elak dijangkiti iaitu memakai pelitup muka dua lapis dan elak tempat sesak kerana kalau seorang positif maka ia akan merebak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai punca peningkatan kes Covid-19 pada sidang media Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley hari ini.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata peningkatan kes wabak kepada 11,079 kes hari ini berikutan penambahan jumlah saringan Covid-19 di lapangan.
“Saringan kita juga meningkat hari ini, biasanya kita buat sekitar 80,000 hingga 90,000…hari ini kita jalankan lebih 120,000 tetapi ia masih belum mencukupi,” katanya.
Delta lebih cepat merebak dan mudah menyebabkan risiko kematian sehingga menjadi perhatian utama pakar perubatan saat ini.
Ia dikhuatiri boleh mencetuskan gelombang jangkitan baharu yang lebih dahsyat walaupun di negara yang mencatatkan kadar suntikan vaksin paling tinggi.
Varian Delta juga didakwa lebih mudah dijangkiti sekitar 40 hingga 60 peratus, selain menyerang golongan lebih muda.
The post Varian Delta merebak pantas, punca kes Covid-19 naik appeared first on Selangorkini.


