Bekas pensyarah sedia kelas dalam talian RM1, bantu pelajar selesaikan tugasan tahun akhir

23 Jul 2021 • 2:05 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Tanpa mengira keuntungan, seorang pereka senior menawarkan kelas dalam talian untuk berkongsi kemahiran, pengalaman dan pengetahuannya kepada generasi muda berkaitan seni reka dengan yuran serendah RM1 sahaja.

Zainal Abidin Abdul Rahman, 72 tahun, bekas pensyarah reka bentuk di Universiti LimKokWing mengambil pendekatan menawarkan bantuan dan bimbingan kepada pelajar seni reka peringkat Diploma, Ijazah, Master dan PHD .

Bimbingan ini adalah untuk membantu mereka menyelesaikan tugasan projek kelas serta projek tahun akhir (Final Year Project – FYP) dan thesis.

Perkara ini diuar-uarkan melalui Twitternya pada awal bulan ini. Untuk mendapatkan khidmat tersebut, individu yang berminat perlu membayar RM1 sahaja.

Sehingga kini, seramai 45 pelajar telah menunjukkan minat untuk menyertai kelasnya itu. Lapan dari mereka termasuk beberapa pelajar master telah mengadakan sesi dalam talian bersamanya.

Selain daripada pelajar, guru sekolah juga turut berminat dengan perkhidmatannya ini. Beliau juga dihampiri oleh penjual bunga secara dalam talian untuk meminta maklum balas berkaitan idea dan cara untuk membuat reka bentuk bunga.

Beliau berkata, keberkesanan mana-mana projek reka bentuk adalah melalui pelajaran fizikal. Dari situ pengajar dapat melihat kemajuan pelajar dan memberikan maklum balas segera.

Tambahnya, menghubungkan pelajar dengan pemimpin industri yang tepat bagi mendapatkan maklum balas, adalah penting untuk perkembangan mereka sebagai pereka di masa hadapan.

Oleh itu, jika anda atau kenalan anda memerlukan idea mengenai seni reka, bolehlah menghubungi beliau untuk mendapatkan maklum balas.

[Sumber: MalayMail]

The post Bekas pensyarah sedia kelas dalam talian RM1, bantu pelajar selesaikan tugasan tahun akhir appeared first on SoyaCincau.com.

View Original Article