Tunjuk bukti ke mana peruntukan wang Covid-19

Politics
30 Jul 2021 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SELAYANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerajaan menunjukkan bukti ke mana peruntukan wang yang disalurkan oleh kerajaan untuk perbelanjaan Covid-19.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa, di dalam Rang Undang-Undang Darurat, tidak ada bukti di mana wang itu disalurkan.

“Kita nak tanya akauntabiliti duit yang telah dijanjikan, salurannya dan sistem penyampaian.

“Sebab memang dikatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengeluarkan beberapa bilion, bukan juta untuk menangani masalah Covid-19 ini,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan 30 unit Oxygen Concentrator kepada Hospital Selayang bawah projek #ImpakKEADILAN pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah perlu kerajaan PN mewujudkan satu tabung sumbangan orang ramai bagi membeli kelengkapan untuk hospital Covid-19.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, ramai rakyat yang masih belum menikmati peruntukan wang yang disalurkan oleh kerajaan.

“Ramai yang rasa keadaan susah, tidak ada kerja dan tidak cukup makan tetapi apa yang kita dengar di akhbar dan di Parlimen bahawa berbilion telah dibelanjakan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu pentingnya diadakan sidang Parlimen untuk mereka bertanyakan mengenai adakah wang yang dibelanjakan itu disalurkan kepada kumpulan sasar.