Selvax: Penduduk teruja permohonan lulus dalam tempoh sehari

23 Jul 2021 • 5:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KELANA JAYA, 23 JULAI: Penerima program Vaksin Selangor (Selvax) tidak menyangka permohonan untuk mendapatkan suntikan pelalian diluluskan dalam tempoh sehari.

Mohamad Hashimi Muhammad Yatim, 46, berkata dirinya teruja hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) kerana telah menunggu selama enam bulan untuk menerima suntikan vaksin.

“Semalam rakan memaklumkan DUN Seri Setia buka program Selvax, orang ramai hanya perlu mendaftar menerusi SELangkah. Alhamdulillah hari ini terus dapat janji temu.

image is not available
Mohamad Hashimi Muhammad Yatim, 46

“Sebelum ini saya telah mendaftar di aplikasi MySejahtera sejak enam bulan lalu tetapi sehingga kini belum menerima tarikh janji temu,” katanya sambil memuji inisiatif Kerajaan Selangor yang disifatkan mudah.

Manakala, Noriza Yaziz, 38, berkata beliau teruja menerima vaksin hari ini kerana bimbang dengan kes Covid-19 yang semakin ‘parah’ ketika ini.

“Syukur sangat terima suntikan dos pertama vaksin hari ini. Setidak-tidaknya saya dapat melindungi diri, keluarga termasuk anak yang masih kecil berusia 10 dan lapan tahun,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Noor Aiman Ibrahim, 27, berkata beliau hadir bersama rakan yang juga ahli Penggerak Belia Tempatan (PeBT) hari ini dan telah mendaftar sejak tiga minggu lepas untuk menerima vaksin tersebut.

“Saya setuju divaksin ini juga sebab dorongan daripada rakan-rakan disamping berusaha membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Setakat ini tiada kesan sampingan,” katanya sambil menasihatkan orang ramai untuk segera daftar vaksin bagi memutuskan rantaian wabak.

Program Selvax Komuniti itu dilaksanakan Dewan Undangan Negeri Seri Setia pada hari ini mulai jam 9.30 pagi sehingga 7 malam di Dewan PKNS SS7, Kelana Jaya, di sini.

image is not available
Noriza Yaziz, 38

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.

 

The post Selvax: Penduduk teruja permohonan lulus dalam tempoh sehari appeared first on Selangorkini.