SHAH ALAM, 17 JULAI: Dua orang wakil dari setiap rumah di Selangor dibenarkan keluar bersama bagi mendapat bekalan makanan dan keperluan asas.
Dato’ Menteri Besar berkata ketetapan itu diguna pakai di 34 mukim di negeri ini ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semalam berdasarkan pengumuman timbalan perdana menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Oleh itu, Selangor kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa pertama kecuali lokaliti dikenakan PKPD. Tatacara operasi piawai (SOP) ini diguna pakai berdasarkan arahan lanjut MKN,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun kebenaran bagi tujuan itu hanya dalam jarak tidak lebih 10 kilometer manakala tiga orang diizinkan bagi mendapatkan rawatan, suntikan vaksin dan kecemasan.
Bagi operasi sektor awam pula sebanyak 20 peratus dibenarkan iaitu keutamaan kepada proses tidak boleh dilakukan dari rumah sementara untuk pengurusan dan operasi swasta pada tahap 60 peratus tertakluk surat kelulusan kementerian
Kemudahan lain adalah sepeti berikut:
1. Sukan dan rekreasi individu di tempat terbuka – 7 pagi hingga 8 malam
– joging dan senaman dahaja
– perjarakan fizikal 2 – 3 meter
– kawasan kejiranan
2. Stesen minyak di lebuh raya bertol – 24 jam
Stesen minyak – 6 pagi hingga 8 malam
3. Hospital, klinik, makmal perubatan – 24 jam
4. Restoran, kedai makan, penjaja tepi jalan – 6 pagi hingga 10 malam
5. Pasar raya, kedai serbaneka, klinik haiwan, kedai dobi, kedai barangan bayi, penjagaan diri, bengkel kenderaan, kedai cermin mata, kedai makanan haiwan, dobi layan diri, farmasi, kedai barangan kogan (hardware) – 8 pagi hingga 8 malam
Semalam, Ismail Sabri Yaakob berkata sidang MKN telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di semua mukim terbabit.
Bagaimanapun empat kawasan baharu dalam empat daerah akan dikuat kuasa perintah ketat itu selama dua minggu mulai esok iaitu:
1. Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling
2. Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat
3. Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang
4. Taman Samudera, mukim Batu, Gombak

The post PKPD tamat, dua wakil isi rumah dibenar dapatkan bekalan keperluan appeared first on Selangorkini.

