Google Memperkenalkan ‘Play As You Download’ Untuk Android 12 – Main Permua Sebelum Muat Turun Selesai

TechnologyDigital
13 Jul 2021 • 12:47 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Februari tahun lepas kami laporkan yang Google sedang menguji sistem Incremental File System. Di mana sesebuah aplikasi dengan saiz pemasangan yang besar boleh dijalankan, walaupun masih lagi dalam proses memuat turun. Kemudian bulan Mac lalu, Google dilihat menguji pula ciri muat turun yang lebih cekap melalui bantuan sesama pengguna.

Terkini Google secara rasminya memperkenalkan ciri ini di acara Google for Games Developer Summit. Ciri ini digelar sebagai Play as you download.

Menurut Google, ia bukanlah ciri yang baharu – tetapi sudah digunakan lama oleh Sony dan Micorosoft pada konsol mereka. Cuma Android masih tidak memerlukan ciri ini sehinggalah sejak kebelakangan ini, saiz-saiz permua dan aplikasi menjadi semakin besar. Menurut Google, melalui Play as you download masa permua atau aplikasi sedia dibuka adalah dua kali lebih pantas. Google memberi contoh yang permua dengan saiz 400MB boleh diakses selepas 10 saat muat turun.

image is not available

Pembangun permua juga boleh memilih tiga kaedah mengedarkan aset, pertama adalah kaedah klasik data dan .APK di dalam Play Store. Kedua adalah On Demand di mana aset hanya dimuat turun jika perlu dan ketiga Fast Follow selesai pemasangan permua boleh dilancarkan dan sambil main sambil aset dimuat turun.

Ciri ini dikatakan terhad kepada Android 12 sahaja, kerana ia terbina dalam teras kod sistem operasi. Google turut menggalakkan pembangun aplikasi pelancar menggunakan ciri ini. Ini akan membuatkan pelancar boleh berjalan sambil kemaskini sedang berlangsung di latar, ikon aplikasi yang menjadi kelabu dengan status muat turun boleh diintegrasikan serta pelbagai lagi.

image is not available

Melalui ciri baharu ini, aplikasi juga dimampatkan dalam fail pemasangan .AAB. Ini bermakna tiada lagi .APK dan lebih sukar pembangun bebas hadir dengan versi modifikasi untuk permua dan aplikasi yang memerlukan bayaran. Sejumlah pembangun permua sudah mula menguji ciri baharu Google ini. Menurut Google, Supercell mendapati melaluinya saiz muat turun adalah kurang 50%. Rujuk imej di bawah untuk senarai permua da pembangun yang telah menguji sistem baharu ini.

image is not available

Dengan ciri ini juga, pengguna boleh jimat penggunaan data jika tiada akses WiFi. Ini kerana Google telah hadir dengan sistem notifikasi jika pengguna menggunakan data mudah alih, selepas 150MB digunakan pengguna akan menerima amaran dari dala aplikasi untuk mengesahkan sama ada ingin sambung muat turun atau tidak.

image is not available

Akhir sekali, penggunaan sistem ini juga memudahkan pembangun mengedarkan aplikasi dengan lebih pantas. Tidak pasti sama ada ciri sudah boleh diuji pada Android 12 beta sedia ada atau hanya akan hadir dalam Android 12 stabil akan datang. Sama-sama kita nantikan.