Layla Sania Artis Malaysia Kedua Tampil di Papan Iklan Digital New York Times Square

20 Jul 2021 • 10:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Artis di bawah naungan Warner Music Malaysia, Layla Sania menjadi selebriti Malaysia kedua yang dipaparkan di papan iklan digital di New York Times Square.

Ini berikutan pembabitannya dalam kempen 'Equal' anjuran platform penstriman muzik Spotify.

image is not available

image is not available

Tika dihubungi secara eksklusif oleh pihak Getaran Layla Sania tidak dapat mengawal rasa terujanya sehingga menangis di depan ahli keluarganya sendiri.

"Layla berasa sangat gembira sewaktu mendapat khabar berita ini dan dikirimkan foto serta video papan iklan tersebut dari bandar New York. Sampai tak dapat nak bergerak menangis depan keluarga Layla, termasuk datuk dan nenek Layla sendiri. Layla betul-betul tak tahu nak fikir apa.

"Malah Layla sama sekali tidak pernah membayangkan muka Layla bakal terpampang sebegitu besar di New York Times Square. Sebelum ini Layla pernah nampak Yuna di situ tapi siapalah Layla Sania? Saya betul-betul tak pernah mimpikan sesuatu seperti ini," jelasnya penuh gembira.

Dengan pencapaian ini, dirinya juga berharap supaya dapat menggunakan pendedahan yang diberikan ini dalam kerja-kerja amal dan kebajikan di masa hadapan.

image is not available

"Layla pun memang berminat dengan kerja amal dan kebajikan. Jadi jika lebih ramai mengenali Layla melalui peluang ini, Layla harap dapat melakukan lebih banyak perkara yang boleh membantu semua orang di masa depan," tambahnya lagi.

Pencapaian ini juga menjadikannya wanita Malaysia berhijab kedua yang tampil di latarbelakang neon gergasi New York Times Square.

"Layla harap, Layla dapat menginspirasi orang lain untuk berusaha mengejar kejayaan. Ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil. Semuanya mampu dikecapi jika kita mulakan dengan impian dan usaha.

Ini juga membuktikan wanita Muslim mampu melakukan apa sahaja. Tiada apa yang perlu ditakutkan dan semua wanita sama tanpa mengira bangsa atau agama," ujarnya menutup bicara.

image is not available

Layla Sania pernah mengeluarkan dua single berbahasa Melayu bertajuk Que Sera Sera dan Lakaran sebelum mengeluarkan lagu berbahasa Cina berjudul 'By Your Side'.

Layla Sania juga mula mencuri perhatian peminat muzik Malaysia selepas menyanyikan lagu dendangan asal Tiger Huang dalam rancangan realiti I Can See Your Voice pada Januari 2020. - Getaran, 20 Julai 2021.

Semua gambar dari tangkapan layar Instagram Layla Sania