PKD Klang akur arahan pindah pusat nilai Covid-19 Taman Sri Andalas

12 Jul 2021 • 7:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 12 JULAI: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang akur dengan arahan memindahkan pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas, Klang ke lokasi lain.

Bagaimanapun Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis berkata agensi terbabit yang mengakui kesilapan berhubung cadangan pembukaan pusat itu memohon sedikit masa untuk mencari lokasi sesuai demi keselamatan dan ketenteraman penduduk.

“Pihak PKD bersetuju untuk menyemak semula dan cadangan memindahkan pusat berkaitan. Mereka juga memohon maaf dan mengakui kurang berpengalaman mengendali hal sebegini,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi kenyataan hari ini.

EXCO hal ehwal agama Islam itu menjelaskan pihak terbabit akan bertindak segera dengan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi pesakit yang hadir ke CAC.

Menurutnya, keadaan lalu lintas juga akan ditambah baik dengan kerjasama polis dan Majlis Perbandaran Klang selain menyediakan tempat letak kenderaan sesuai untuk pesakit.

“Mereka juga akan menyediakan pelan laluan sesuai bagi membolehkan surau dibuka dan tidak mengganggu penduduk sekitar,” katanya.

Terdahulu, penduduk taman itu membantah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan CAC di dewan berkenaan yang terlalu hampir dengan lokasi perumahan dan menyuarakan kebimbangan mungkin berlaku peningkatan kes Covid-19.

The post PKD Klang akur arahan pindah pusat nilai Covid-19 Taman Sri Andalas appeared first on Selangorkini.