SHAH ALAM - Sepucuk surat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tular di media sosial pada Jumaat berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.
Kandungan surat empat muka bertarikh 29 Julai 2021 itu menyebut tentang rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana tidak menuruti titah Seri Paduka Baginda ketika sesi menghadap secara maya pada 24 Julai lalu.
Dalam surat tersebut turut terkandung kronologi permohonan pembatalan ordinan itu namun Seri Paduka Baginda tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.
Antara lain surat tular tersebut menyatakan, Yang di-Pertuan Agong memerlukan masa untuk menganalisa permohonan itu termasuk mendapatkan pandangan lanjut daripada Majlis Raja-Raja Melayu.
Dalam surat itu juga Al-Sultan Abdullah menitahkan agar cadangan pembatalan itu perlu dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani Seri Paduka Baginda selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Suhu politik tanah air kembali meledak pada Khamis apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Takiyuddin telah bertindak mengelirukan Dewan Rakyat berhubung pembatalan Proklamasi Darurat.
Perkembangan yang berlaku ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung itu membuatkan Dewan Rakyat kecoh apabila ahli-ahli Parlimen menuntut penjelasan daripada kerajaan selain mengecam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bertanggungjawab dan meletakkan jawatan.
Sesi persidangan pada sebelah petang bagaimanpun terus ditangguhkan sehingga tiga kali apabila diumumkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dan semua yang hadir perlu menjalani ujian saringan dan persidangan akan disambung pada Isnin.


